10 Dis 2009

Taktik padam Skandal PKFZ – Anwar

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menyifatkan penahanan bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka OC Phang dan dua lagi, hanya satu permulaan kecil.

Sekalipun menyambut baik langkah itu, beliau bimbang ia cuma satu taktik bagi memadamkan skandal berkenaan sebagaimana kes Perwaja sebelum ini.

“Seperti kes Perwaja, ada permulaan kecil tapi jerung-jerung besar tak tertangkap. Langkah awal itu jangan pula untuk memadamkan cerita PKFZ.

“Cerita PKFZ tidak boleh padam selagi ia tak diselesaikan dengan baik,” tegas beliau pada sidang media di lobi Parlimen tengah hari ini.

OC Phang dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang hari ini, sama ada untuk memperoleh perintah reman atau pendakwaan.

Ketua Umum KEADILAN itu berkata, kerajaan perlu lebih bersungguh-sungguh dalam siasatan kes berkenaan bagi merungkai skandal terbesar negara itu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula menganggap perkembangan itu cuma berkaitan usaha kecil dalam permasalahan besar (small piece of a larger picture) skandal berkenaan.

Beliau yang turut mengalu-alukan usaha yang membawa penahanan itu, juga menganggap kesungguhan politik (political will) perlu bagi membersihkan skandal itu.

“Jika tidak, tindakan kerajaan hanya menyentuh permukaan masalah sahaja. Tidak lebih dari itu,” katanya yang mengadakan sidang media lebih awal. -FMT



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tangkap bilis sembunyi jerung memang kerja UMNO, dulu kini dan selamanya