26 Dis 2009

MBSA Lancar Projek 1Tikus

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan RM1 bagi setiap tikus yang ditangkap di sekitar kawasan pangsapuri di Seksyen 16 di sini sempena Kempen 3K iaitu kebersihan, kesihatan dan kitar semula di kawasan itu hari ini.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Mohtar Hani berkata ganjaran itu ditawarkan sebagai galakan untuk penduduk setempat menyertai kempen itu.

“Kita tawarkan RM1 bagi setiap ekor tikus yang ditangkap untuk memastikan kempen 3K pada hari ini berjaya,” katanya selepas melancarkan Kempen 3K di kawasan itu.

Katanya kempen 3K akan diadakan secara berterusan bagi mendidik penduduk supaya peka dengan kebersihan kawasan tempat tinggal mereka.

Ini kerana persekitaran kotor akan mengundang risiko penyakit berbahaya.

Selain aktiviti gotong royong membersihkan kawasan sekitar dan memusnahkan binatang perosak itu, MBSA juga akan mengadakan aktiviti pembersihan sampah pukal seperti perabot lama, almari, kerusi serta sampah-sampah kebun seperti dahan, ranting, daun dan kayu, katanya.

“Kita juga akan menjalankan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan kawasan kediaman sentiasa bebas dari pembiakan binatang perosak yang mengundang penyakit,” kata beliau.



Tiada ulasan: