6 Dis 2009

‘Mami jarum’ istilah sesuai untuk Umno

Mami jarum. Itulah istilah paling sesuai untuk dipakai kepada Umno sekarang ini, khususnya Umno Kelantan kerana kepantasannya melihat buruk orang tetapi peribadi sendiri tidak terurus.

Reaksi itu dieksploit umum ketika melihat kemelut sendiri gagal diselesaikan tetapi gerakannya terlalu ghairah menghentam kepimpinan PAS dan kerajaan negeri.

Fenomena itu terbukti apabila ramai pemimpin Umno di peringkat cawangan Umno bahagian Rantau Panjang mengancam mahu keluar parti.

Seramai 36 Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) dan tiga Ketua Penyelia Pembangunan Mukim (KPPM) Umno bahagian berkenaan yang dipecat ketuanya, Abdullah Mat Yasin tidak teragak-agak untuk bertindak keluar parti lantaran hilang kepercayaan kepada kepimpinannya.

“Kami telah berjumpa Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Mustapa Mohamed serta timbalannya, Datuk Dr Awang Adek, minta selesaikan perkara ini. “Tapi sampai sekarang tiada apa-apa tindakan,” kata Wan Yaacob Wan Ismail, bekas PPM tanpa menyembunyikan rasa kecewa dan tawar hatinya terhadap kelemahan dalam usaha merungkai untaian kemelut dimaksudkan.

Konflik Umno Rantau Panjang bermula sejak setahun lalu apabila kesahihan pelantikan Abdullah sebagai ketua bahagian dipertikai kerana dikatakan tidak dipilih melalui persidangan perwakilan bahagian.

Sebelum itu ketua bahagian berkenaan disandang Datuk Mohd Zain Ismail.

Namun, Mohd Zain digantung jawatannya selama tiga tahun oleh Lembaga Disiplin Umno atas kesalahan cuba mensabotaj parti pada pilihan raya umum 2008.

Turut diragui ialah pelantikan timbalan ketua bahagian, ketua Pemuda dan ketua Wanita.

Wan Yaakob turut mendakwa mereka yang memegang jawatan di peringkat bahagian Umno berkenaan seolah-olah dilantik Umno pusat tanpa memberi peluang kepada ahli yang terdiri dari 160 cawangan.

Justeru, waima Mustapa atau Awang Adek, sesungguhnya perlu kepada satu inisiatif baru dalam usaha merungkai kemelut yang hampir berlumut itu sebelum bertambahnya ancaman dari ahli parti.

The Malaysian Insider difahamkan kira-kira 500 penyokong Umno dari sebuah cawangan dalam Dewan Undangan Negeri Bukit Tuku dijangka keluar Umno dan akan dikuti oleh 35 cawangan lain di seluruh bahagian Rantau Panjang selepas ini. -Mohd Zuharman

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

TGHH kata toghut tapi nak buat UG dengan UMNO??? kita cabar hadi tawan malaysia PRU13....