6 Dis 2009

BTN : Mahathir Dedahkan Sikapnya Yang Sebenar

Tun Dr Mahathir Mohammad akhirnya menyerlahkan dirinya yang sebenar - bahawa - beliau di belakang segala kecelaruan Biro Tatanegara (BTN). Bahawa, beliau menyokong modul BTN yang dikenalpasti selama ini mewujudkan sentimen ras dikalangan para peserta kursus BTN tersebut.

Maka tidak hairan mengapa BTN sering dijadikan tempat untuk beberapa penceramah menghentam pemimpin pembangkang terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hari ini, Mahathir melakukan pembelaannya dengan menyatakan Modul Biro Tatanegara (BTN) perlu dikekalkan dan tidak dirombak kerana ia sudah cukup baik dalam memupuk semangat kenegaraan di kalangan rakyat.

Bekas Perdana Menteri itu berpendapat kurikulum BTN dapat memupuk semangat perpaduan kerana kursus anjuran agensi itu turut dihadiri rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

"Tidak perlu dirombak... saya ingat kekal (modul BTN)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Aids Sedunia 2009 di sini hari ini.

Sambil mengakui beliau juga pernah memberikan syarahan pada kursus anjuran BTN dan antara perkara yang diterangkan ialah mengenai sejarah Malaysia, beliau menyatakan tidak ada apa-apa yang tidak betul mengenai kursus BTN kerana kurikulumnya cukup baik untuk memberi kesedaran tentang pentingnya kehidupan bernegara.

Jadi ternyata bahawa BTN menjadi medan untuk Mahathir meneruskan agenda mengindoktrinasi pelajar dan penjawat awam selama ini dan sepastinya ia dilakukan dengan peranan yang dimainkan oleh pegawai peringkat tertinggi yang mengendalikan BTN ini.

Baru-baru ini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kurikulum BTN akan dirombak bagi mencerminkan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tub Razak.

Nazri yang sebelum ini telah menempelak Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan telah mendedahkan bahawa BTN telah dijadikan platform untuk menaikkan pemimpin tertentu.

Isu kursus anjuran BTN mendapat perhatian ramai apabila kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini melarang kakitangan awam dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri mengikuti kursus berkenaan berkuatkuasa serta-merta kerana didakwa sebagai proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman, memecah-belahkan penduduk pelbagai kaum, agama dan menimbulkan kebencian kepada pembangkang.


Tiada ulasan: