6 Dis 2009

Ada Agenda Di Sebalik Tohmahan Terhadap Nik Aziz - Mahfuz

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menyifatkan tindakan sesetengah pihak yang cuba mengganggu-gugat kedudukan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan pelbagai tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan kepada beliau mempunyai agenda tersendiri.

Mahfuz berkata, usaha yang sedang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) ini adalah sebagai salah satu tindakan untuk melihat PAS berada dalam keadaan kucar-kacir.

"Tindakan mereka terhadap Nik Aziz tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kepada beliau. Malah ahli-ahli PAS akan sentiasa memberi sokongan dan dokongan kepada beliau bagi memastikan tidak ada pihak yang dapat menjatuhkannya," ujarnya alam blog beliau http://gemasuara.blogspot.com/.

Memetik tulisan tersebut, beliau berkata "kekuatan dan kesepaduan yang ada dalam PAS agak sukar untuk mereka daripada BN untuk mengganggu-gugat kedudukan di negeri Kelantan.

Pemimpin Umno sepatutnya mencari kaedah dan jalan bagaimana untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti mereka dan juga menumpukan tumpuan bagaimana untuk menunaikan janji yang telah mereka berikan kepada rakyat ditepati.

"Mereka sepatutnya memikirkan cara yang terbaik untuk memulihkan kepercayaan rakyat yang sudah jauh terhakis kepada mereka dan bukannya dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan dakwaan terhadap parti lawan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut yakin bahawa BN mempunyai agenda tertentu bagi menawan semula Kelantan dari kerajaan PAS.

"Sehubungan itu adalah tidak menghairankan sekiranya mereka membuat pelbagai tohmahan bagi mengeruhkan suasana yang ada di negeri Kelantan," tambahnya lagi.

Tiada ulasan: