20 Dis 2009

66-63 Undi Petanda Awal Kejatuhan BN: Nizar

Kejadian yang menyaksikan kerajaan Barisan Nasional (BN) hampir kalah dalam undi usul Bajet 2010 di Parlimen Rabu lalu disifatkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin sebagai kemenangan besar Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, keputusan itu adalah kejutan besar kepada rakyat di negara ini dan sekali gus menyaksikan petanda kepada kejatuhan kerajaan BN yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Boleh dikatakan ketika penggulungan, Speaker Dewan sengaja melengah-lengahkan dan membenarkan keadaan itu berlaku semata-mata untuk menunggu kehadiran Ahli Parlimen BN yang lain sampai dan masuk ke Parlimen,” katanya di sini, semalam.

Menurut Mohamad Nizar, berlandaskan bajet yang julung kalinya dibentangkan Najib itu, ia memberikan tamparan hebat kepada BN mengenai kemampuan PR untuk menggugat parti pemerintahan pada pilihan raya umum akan datang.

Kata beliau, ia juga sebagai tanda BN yang ada hari ini boleh tumbang bila-bila masa kerana hanya negara ini Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan dan jelas menunjukkan apabila Bajet 2010 tidak diluluskan kewibawaannya turut dipersoalkan terutama oleh rakyat.

“Apabila Bajet 2010 ini tidak diluluskan sudah tentu ini petanda BN tergugat. Ibaratkan satu perjalanan ke Putrajaya, yang mana PR sudah pun sampai ke Kajang,” katanya. - SinarHarian

Tiada ulasan: