21 Nov 2009

Mayat Mendiang Teoh Telah Selamat Digali Semula

Mayat mantan Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri, Teoh Beng Hock selamat dikeluarkan semula jam 10.37 pagi setelah kerja-kerja menggali kubur dilakukan seawal jam 9.15 pagi di Nirvana Memorial Park, Semenyih.

Kerja-kerja menggali diawasi sepenuhnya oleh Polis, kawalan ketat dilakukan dan hanya keluarga terdekat yang dibenarkan menyaksikan kerja-kerja mengeluarkan mayat dilakukan.

Keranda tersebut kemudiannya dibawa keluar dari tanah perkubuhan itu pada kira-kira jam 11.15 pagi selepas selesai upacara sembahyang dan proses disinfeksi.dilakukan.

Kesemua itu dilakukan di sebalik kain pengadang besar di sekeliling kubur Teoh.

Sebelum itu, polis menutup kawasan sekitar 30 meter dari situ dengan memasang pita kuning.

Hadir sama di kawasan perkuburan berkenaan adalah Pakar Patalogi Thailand, Dr. Porntip Rojanasunand dan peguam mewakili keluarga mendiang, Gobind Sigh Deo.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang turut hadir berharap pembedahan kali kedua ke atas mayat Beng Hock dapat merungkai punca kematian mendiang.

"Saya berharap proses bedah siasat kali ke dua yang dilakukan esok dapat mengetahui punca sebenar kematian Beng Hock," katanya.

Sementara itu, Gobind berkata keputusan bedah siasat yang akan dilakukan esok dijangka dapat merungkai faktor penyebab kematian Beng Hock.

Mahkamah Koroner sebelum ini mengarahkan kubur mendiang di gali semula hari ini manakala bedah siasat kedua ke atas mayat akan dijalankan esok di Hospital Sungai Buloh.

Koroner Azmil Muntapha Abbas berkata bedah siasat ini akan diketuai oleh Ketua Jabatan Patologi dan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor.

Dr Porntip, yang dibawa oleh kerajaan negeri Selangor, mendakwa dalam keterangannya itu bahawa berdasarkan foto dan laporan bedah siasat pertama, beliau mendapati ada kemungkinan 80 peratus punca kematian Teoh adalah homisid, dan 20 peratus bunuh diri.

Gobind berkata mayat Teoh 'dalam keadaan baik' dan mengucap terima kasih kepada Taman Peringatan Nirvana dan polis kerana bantuan mereka.

Bagaimanapun, beliau hairan mengapa tiada seorang wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir pagi ini.

"Mereka sepatutnya menghantar wakil. Saya tidak nampak seorang pun, tetapi ia terpulang kepada budi bicara mereka," tambahnya.

Koroner telah mengarahkan bekas doktor Forensik, Dr K.Saravanan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk membantu Dr Shahidan dengan mengambil gambar semasa bedah siasat dilakukan.

Permohonan bedah siasat kali kedua dibuat keluarga mendiang setelah Dr Porntip mendedahkan kemungkinan 80% Beng Hock dibunuh.

Tiada ulasan: