20 Nov 2009

Era Najib Altantuya : Mahkamah Benarkan Penduduk Bkt Gasing Cabar Perintah Datuk Bandar

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sebuah syarikat pemaju hari ini gagal untuk menghalang 108 penduduk Bukit Gasing daripada mencabar satu perintah pembangunan daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur berhubung projek pembangunan lereng bukit di kawasan berkenaan.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, menolak rayuan DBKL dengan majoriti 2-1, manakala Hakim KN Segara pula menentang.

Dalam keputusan lisannya, Hakim Zaleha berkata selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, rayuan pemohon ditolak.

DBKL dan pihak pemaju, Gasing Meridian Sdn Bhd (GMSB), mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 24 April, dalam memberikan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi membatalkan perintah Datuk Bandar.

GMSB adalah pemaju yang terbabit dalam pembangunan Sanctuary Ridge Kuala Lumpur City, iaitu projek pembinaan 68 banglo di tapak seluas 15.5 hektar di Bukit Gasing.

Peguam R Sivarasa dan Derek Fernandez yang mewakili penduduk, memberitahu media bahawa penduduk seharusnya mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat memandangkan kemungkinan berlaku runtuhan tanah yang menjejaskan nyawa dan harta benda mereka yang tinggal berhampiran bukit itu.

Fernandez berkata, tarikh perbicaraan untuk semakan kehakiman belum ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi berikutan rayuan itu.

Romesh Abraham hadir bagi pihak DBKL dan Datuk RR Sethu pula bagi pihak GMSB.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, dalam perintah bertarikh 2 Oktober 2008 yang dikeluarkan kepada GMSB, membenarkan pemaju menjalankan kerja-kerja tanah dan sub-bahagian di kawasan berkenaan.

Dalam permohonan kebenaran itu, penduduk menamakan DBKL dan GMSB sebagai defendan.

Penduduk mendakwa Datuk Bandar gagal mengambil kira bahawa mereka mempunyai hak di bawah undang-undang lazim untuk diberikan notis terlebih dahulu dan diberikan peluang menyuarakan pendapat dalam proses membuat keputusan perancangan itu.

Mereka berkata Datuk Bandar telah bertindak bertentangan dengan dasar dan maksud Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982. - Bernama .

Tiada ulasan: