18 Nov 2009

Era Najib Altantuya : Karpal Sahut Cabaran Nazri Untuk Dakwa VK Lingam

Pengerusi DAP Karpal Singh sedia menawarkan khidmat sukarelanya mendakwa tokoh kontroversi dalam isu 'klip video Lingam', Datuk V. K. Lingam sekiranya Peguam Negara (AG) Tan Sri Abdul Gani Patail membenarkan beliau berbuat demikian.

"Saya menyeru Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz supaya menasihati AG mengeluarkan 'fiat' kepada saya bagi tujuan mendakwa Lingam," katanya kepada pemberita di lobi parlimen di sini Rabu.

(Fiat ialah perintah atau waran singkat oleh hakim atau majistret agar sesuatu tindakan dilakukan).

Semalam, Mohamed Nazri berkata Jabatan Perdana Menteri sedang mencari sukarelawan bagi mendakwa peguam kontroversi itu atas tuduhan mengatur pelantikan hakim yang dirakam dalam satu klip video.

Mohamed Nazri berkata beliau akan berbincang dengan Peguam Negara jika ada sesiapa yang bersedia mendakwa Lingam, termasuk Karpal Singh.

Kata Karpal: "Saya sambut cabaran itu. Saya bersedia mendakwa V. K. Lingam bagi kesalahan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan. Apa yang diucapkannya (dalam video berkenaan) mempunyai kecenderungan ke arah menghasut.

"Dalam perkataan lain, perkara ini termasuk di bawah Seksyen 3(1c) Akta Hasutan, yang mentakrifkan kecenderungan untuk menghasut sebagai kecenderungan untuk menghina atau mewujudkan kebencian terhadap bidang kehakiman di negara ini, yang boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali."

Beliau berkata di England, adalah perkara biasa bagi Peguam Diraja atau pengamal undang-undang bebas untuk bertindak sebagai pendakwa, sekiranya kerajaan membenarkan mereka berbuat demikian.

Karpal berkata mengikut Seksyen 5 akta yang sama, "tiada seorang pun boleh didakwa bagi kesalahan mengikut Seksyen 4, tanpa mendapat kebenaran Pendakwa Raya.

"Jika AG bersetuju... saya tak nampak ada sebab kenapa Nazri tidak bersetuju untuk memberi kebenarannya secara bertulis, jika diambil kira kenyataan menteri itu di lobi parlimen semalam," katanya.



Tiada ulasan: